Menyembuh Bangsa Yang Sakit
بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِالرَّحِيْــــم
1. Dr Amien Rais telah menulis dalam bukunya 'Menyembuh Bangsa Yang Sakit' (1999) terbitan Yayasan Bentang Budaya Yogyakarta "... tidak ada diktator, atau orang yang alim, otoriter yang tidak jatuh. Sejak dari Firaun yang gagah perkasa sampai Hitler, Mussollini, Shah Iran, Marcos, Mobutu hingga Soeharto, semuanya jatuh. Jadi semua orang yang berkuasa dan lupa daratan, seorang yang terbuai kekuasaan, maka semua kekuasaannya akan dicabut oleh Allah swt dalam tempoh sekejap saja" (hal 84). Tambahnya lagi, "...kekuasaan bukan untuk memperkaya diri, bukan untuk praktik KKN dan bukan untuk mengintimidasi bagi sesama umat manusia. Tetapi kekuasaan betul-betul untuk melindungi yang lemah, yang fakir dan miskin, membela kebenaran dan keadilan hukum bagi anak bangsa tanpa diskriminasi" (hal 86).
2. Namun, apakah pemimpin-pemimpin yang ada ketika ini dan sedang menumpuk kuasa serta kekayaan terfikir apa yang dicatatkan oleh Dr Amien Rais ini? Buat mereka mungkin bergelut mempertahankan kuasa itu adalah kewajipan super penting. Maha penting berbanding bermuhasabah samada amanah yang dihenyak di bahu serta dihempas di belakang mereka itu sudah usai dibayar hutang-hutangnya. Pemimpin adalah si-berhutang kepada rakyat terhadap segala janji dan sumpah-sumpah yang telah dilafazkan ketika menerima jawatan. Salah satu ciri-ciri Sang Munafik adalah mengkhianti janji apatah lagi mengengkari sumpah bersaksikan kitab suci Al-Quran. Betapa jahatnya manusia yang bukan saja membohongi sesama manusia, malah membohongi Allah swt demi tamak haloba terhadap kuasa yang menjadi senjata untuk mengaut dan menimbun harta kekayaan. Dengan kekayaan sedia ada sekarang pun 7 keturunan tidak habis berbelanja tetapi kerakusan dan haloba mereka tidak ada sempadannya sehingga tidak pernah puas dengan apa yang ada. Mereka lupa akan rakyat yang mengikat perut dan bersengkang mata bergelut dengan usaha mencari rezeki untuk sesuap nasi buat diri dan keluarga.
3. Pemimpin-pemimpin ini juga lupa atau sengaja pengsan untuk berfikir tentang siksanya berdepan dengan neraca keadilan Allah swt nanti terhadap pengkhianatan yang telah dilakukan terhadap rakyat yang meletakkan setinggi langit harapan kepada pemimpin untuk memberi kesejahteraan hidup dan perlindungan kepada mereka. Malangnya, pemimpin hanya pandai berjanji dan mengulam rakyat dengan retorik yang tidak pernah bertemu noktah. Semakin rakyat tertindas dan tersepit, semakin gembira pemimpin bercanda dan semakin banyak kata-kata yang menambah luka rakyat. Pemimpin-pemimpin seakan berlumba-lumba untuk merebut peranan menjadi badut sarkas bagi menghiburkan pemimpin utama mereka. Satu persatu kenyataan 'bodoh' dimuntahkan oleh pemimpin-pemimpin makan dedak demi menggembirakan hati 'godfather' mereka. Sampai bila rakyat akan terus diheret bagaikan haiwan peliharaan hanya untuk meneruskan kelangsungan badur-badut berkuasa.
4. Rakyat begitu yakin bahawa Firaun, Qarun, Hitler, Mussollini, Shah Iran, Marcos, Mobutu dan Soeharto sudah tidak ada lagi. Tetapi ternyata jangkaan rakyat meleset kerana yang sudah tidak ada hanyalah jasad pemimpin-pemimpin zalim ini namun hakikatnya, roh mereka sedang berada dalam pemimpin yang sedang memimpin kita. Kekuasaan diterokai dan digunakan semaksima mungkin untuk membolot harta kekayaan dengan memperkaya suku-sakat dan memenuhkan tembolok mereka. Rakyat yang lemah dan sepatutnya dilindungi menjadi sasaran 'buli' dengan pelbagai akta dan undang-undang drakonian yang menghantui rakyat bagi menutup mulut rakyat yang dilihat berani menyanggah mereka. Janji-janji muluk untuk melaksanakan transformasi ekonomi, sosial dan politik tidak lebih daripada gula-gula getah yang bukan menghasilkan bau wangi mulut, sebaliknya menghembuskan bau bangkai yang begitu meloyakan.
5. Sampai bila rakyat akan terus menjadi mangsa buli dan sasaran penyamun. Hari mendatang tidak akan memberikan sebarang makna jika kegagalan semalam tidak dijadikan teladan. Kata Prie GS, ""Bukan cuma apa yang ditipu, tetapi siapa yang menipu, itulah yang menyakitkan hatiku,". Samalah dengan situasi rakyat sekarang, rakyat terlalu sakit ditipu bukan kerana apa yang ditipu, tetapi yang menipu itu adalah pemimpin yang diberi kepercayaan untuk membantu rakyat. Sindrom yang melanda pemimpin yang ada sekarang kerana mereka percaya apa juga yang dilakukan, pasti rakyat tetap mengundi mereka bila sampai masanya. Bagi mereka "ayam tidak berkokok, hari tetap siang juga". Bagaimana jika seluruh rakyat berpakat untuk menghumban pemimpin-pemimpin lupa daratan ini ke lautan?
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment