MELAYU

Samada kita sedar atau tidak, setiap kali ada usaha kononnya untuk memberi kesedaran kepada bangsa Melayu, maka perbandingan yang dilakukan adalah nasib bangsa Melayu Singapura yang hanya 13.4% daripada jumlah keseluruhan rakyat di sana. 74.1% adalah Cina, India 9,2% dan lain-lain 3.3%.

Daripada hujah yang diketengahkan rata-rata cuba menggambarkan betapa siksanya nasib orang Melayu di sana berbanding negara ini. Apakah ianya benar? Benarkah mereka lebih tidak bernasib baik berbanding dengan kita di sini? Cuba kita tanya M. Nasir, Aaron Aziz dan Fandi Ahmad legenda pemain bolasepak Singapura. 

Dari sudut pendapatan pun rasanya mereka lebih bernasib baik berbanding kita di sini walaupun jumlah mereka hanya 13.4%. Kita di sini 56.4% Melayu dan 11% bumiputera lain. Apakah Melayu di Malaysia secara fakta lebih baik dari Melayu Singapura? Tahap pendidikan dan kemajuan juga orang Melayu di sana tidak selekeh yang disangka. Jika kita pernah berkursus atau bersama mereka dalam tempoh yang agak lama kita akan sedar bahawa pemikiran dan kemajuan fikiran mereka jauh lebih baik dari kita. Jangan bandingkan Melayu di sana dengan bangsa Cina di sana. Apakah kita di sinipun memberi hak samarata kepada bangsa Cina dan India? Jujurlah mencari kebenaran bukan keuntungan politik sendiri.

Kenapa kita tidak bandingkan nasib Melayu di Brunei? Apakah Melayu Brunei lebih malang nasib mereka daripada kita di Malaysia? Kenapa tidak bandingkan dengan Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Indonesia yang juga majoritinya Melayu? 

Jika alasan Singapura asalnya dari Tanah Melayu, Pattani, Yala, Satun dan Narathiwat juga dulunya sebahagian dari Tanah Melayu sehinggalah Siam menawan utara Tanah Melayu termasuklah Kedah dan Perlis. Perbandingan seharusnya dibuat dengan adab-adab ilmah agar tidak mengelirukan masyarakat. Jangan diselitkan unsur-unsur propaganda dan manipulasi dalam kajian perbandingan. Hanya mereka yang terdesak saja akan melakukan hal sedemikian dan memperlihatkan betapa ceteknya ilmu yang cuba ditonjolkan. 

Apakah nasib Melayu Selatan Thailand, Selatan Filipina dan di Indonesia lebih buruk berbanding Melayu Singapura? Rasanya jika kita ikhlas pasti jawapannya adalah TIDAK. Cuba tanya secara jujur samada bangsa Melayu di Singapura ingin kembali ke Malaysia meninggalkan 'so called' neraka jahanam kononnya buat mereka dan membatalkan kewarnegaraan Singapura? Sudah pasti juga TIDAK!

Propaganda hanya makanan mereka yang buta politik dan ketagihan dedak yang menghancurkan sel-sel otak untuk berfikir.

LEBIH BAIK MATI BERDIRI DARI HIDUP MELUTUT

Comments

Popular Posts