BAHASA ROJAK DAN TREND MUDA-MUDI
TS Rafidah Aziz turut mengulas hal-hal yang menjadi punca persekitaran politik sentiasa kalut-malut.
Menurut beliau, "don't politicised 3 things in politics 1. Religion 2. Race and 3. Education. “ Namun, dari pengamatan saya, ketiga-tiga perkara inilah yang menjadi senjata politisi untuk mengekalkan kuasa serta meraih sokongan tanpa rasa peduli akan nasib bangsa, agama dan tanahair. Yang penting adalah kuasa perlu dipertahankan dan khazanah negara mampu terus dipunggah. Nasib rakyat tidak penting kerana maha penting adalah nasib diri sendiri, keluarga dan suku-sakat.
Sejak merdeka, tidak banyak usaha dan kesungguhan untuk mengeluarkan rakyat daripada kegelapan bidang ilmu khususnya untuk menjadikan rakyat ‘celik politik’. Mereka bimbang jika semua rakyat celik politik, maka semakin pantas hayat parti pemerintah akan terhakis. Jepun bangkit dengan begitu cepat selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom terlalu dahsyat angkara bom atom yang digugurkan pesawat udara Amerika. Apa ramuannya? Tidak lain tidak bukan kerana ilmu dan pencerahan oleh pemerintah.
Jepun sentiasa bertukar parti politik sebagai parti pemerintah namun negara mereka adalah salah sebuah negara kuasa besar dan negara maju. Apakah rakyat mereka bimbang peralihan parti politik yang memerintah akan menyebabkan kemunduran? Bukan itu sebabnya negara akan mundur. Negara akan mundur jika pembaziran bebas dilakukan, penyelewengan berleluasa, urus tadbir negara yang lemah serta korupsi menjadi raja.
Seperkara lagi yang menarik perhatian saya dalam program Obviously Harith Iskandar bersama TS Rafidah Aziz adalah apabila Harith memberi sekeping kad kepada mantan menteri perdagangan antarabangsa ini serta Sean Ghazi yg mengandungi ungkapa-ungkapan ringkas yang menjadi trend terkini golongan muda. Bahasa yang menyulitkan untuk ditelah itu memberi respon spontan TS Rafidah Aziz dengan jawapan ianya datang daripada mereka yang bodoh dan gila serta membuang masa.
Saya setuju penuh dengan komen TS Rafidah Aziz berhubung hal ini kerana ianya bukan saja membuang masa malah menjahanamkan struktur bahasa dan menjadikan bahasa hancur dan boleh menyebabkan salah faham dan inilah yang membahayakan sesuatu arahan yang dikeluarkan dengan bahasa sedemikian rupa.
Lebaran semakin dekat dan pastinya mesej-mesej yang panjang lebar berbunga-bunga akan sampai dalam pelbagai bentuk aplikasi dalam telefon pintar tetapi penggunanya tidak mampu seiring menjadi pintar. Ketika bekerja dahulu saya sering memberitahu pegawai bawahan supaya ucapan yang dihantar biarlah ikhlas walaupun pendek. Tidak guna ucapan panjang lebar dan berbunga-bunga yang diciplak dari orang lain dan disebarkan hanya dengan niat apa tidak diketahui. Mesej sedemikian tidak ubah seperti wanita dimadu kerana berkongsi beramai-ramai pasangannya.
Jika tidak ada masa dan tidak ikhlas maka sebaiknya tidak perlulah ucapan itu dihantar kerana apa yang lebih berharga bukan panjang atau pendek ucapan. Yang utama dan mengesankan adalah ingatan tulus ikhlas.
Sebelum saya melabuhkan tirai artikel ini, suka saya menegaskan sekali lagi agar pemimpin dan pemerintah tidak sesekali menjadikan agama, bangsa dan pendidikan sebagai umpan atau senjata memporak-perandakan rakyat hanya demi terus bertahan sebagai pemerintah. Apalah maknanya kita terus berkuasa sedangkan negara menuju lembah penghinaan dan kehancuran.
Comments
Post a Comment