MALIM GUNUNG VS MALIM POLITIK
بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِالرَّحِيْــــم
السلام عليكم
2. Insiden gempa bumi kali ini telah mempopularkan ungkapan ‘Malim Gunung’ yang sebelum ini agak asing buat mereka yang tidak terlibat atau berminat dengan kegiatan mendaki gunung. Daripada ungkapan malim gunung hinggalah siapa malim gunung ” Robbi Sapinggi yang maut di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi itu dan dianggap sebagai “unsung hero”. Pendaki Australia, Vee Jin Dumlao memberitahu ABC bahawa beliau amat terhutang budi kepada malim gunung bernama Jomius, yang telah bertungkus-lumus membantu para pendaki untuk tiba di tempat selamat selepas kejadian itu. Alangkah murni pekerjaan malim gunung jika ia dilakukan bukan semata-mata demi upah, tetapi juga menjaga amanah yang diberi.
3. Mengikut Kamus Dewan, ‘malim’ bermaksud guru agama (Islam), orang yang alim, ulama ataupun petunjuk jalan, pemimpin ataupun untuk kapal adalah jurumudi. Dalam konteks Gunung Kinabalu ini ia lebih berkait kepada petunjuk jalan gunung. Melihat kepada kisah-kisah yang diceritakan melalui wartawan yang membuat litupan kejadian gempa bumi ini, rakyat Malaysia didedahkan dengan peranan malim gunung yang begitu merbahaya dan cukup penting dalam ekspedisi mendaki gunung. Merekalah yang akan menentukan pendaki selamat sampai ke destinasi dan menikmati kejayaan sebagai pendaki yang puas dan bangga mencecah kaki di puncak gunung yang didaki.
4. Setiap kejadian sentiasa mendatangkan pengalaman dan pengetahuan baru buat mereka yang mahu berfikir serta menjadikan ia sebagai iktibar. Pertamanya sudah pasti mengenai sistem amaran awal dan juga Standard Operating Procedure (SOP). Namun, seperti biasa, ucapan-ucapan pemimpin tidak ubah seperti membaca skrip setiap kali musibah muncul. Insiden Tsunami pada Disember 2004 yang mengorbankan lebih 11,000 orang termasuk 43 di Malaysia yang dilanda ombak besar akibat gempa bumi di utara Sumatera adalah paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun ketika itu gagal dijadikan iktibar kerana seruan untuk mewujudkan sistem amaran awal hanya berkumandang ketika itu sahaja. Dua negeri paling teruk terjejas ialah Pulau Pinang dan Kedah. Sebanyak 32 daripada 43 mangsa terkorban di negara ini adalah di Pulau Pinang, sembilan di Kedah dan dua lagi di Perak.
5. Di mana amaran tsunami dan gempa bumi yang diarahkan 11 tahun lalu? Di mana SOP yang tak jemu dilaung-laungkan ketika itu? Jika tidak ada, hentikanlah drama sinetron memualkan itu kerana rakyat sudah jelak dengan siaran ulangan yang tidak berkesudahan. Sudah sampai masanya malim gunung mengambil tempat malim politik kerana mereka lebih berintegriti, komited dan amanah dalam memikul tanggungjawab mereka. Mereka sanggup menjadi korban demi memastikan nyawa dan keselamatan pendaki yang mengupah mereka selamat sampai dan kembali ke bawah gunung.
6. Bagaimana dengan malim politik? Malim politik di negara ini hanya menunjuk jalan bagaimana menumpuk kekayaan serta kaedah untuk mempertahankan kuasa walaupun sudah lupus tarikh dan membusuk. Malim politik hanya memimpin pendaki kekuasaan sampai ke puncak tetapi gagal membawa pulang pendaki setelah dia sepatutnya turun. Malim politik telah meninggalkan pendaki kekuasaan untuk terus berada di puncak dengan membisikkan kepadanya bahawa inilah tempat kamu selama-lamanya dengan syarat upah tanpa henti dan lumayan. Malim apa seperti ini? Ini malim yang sesat dan menjadi pengkhianat. Malim seharusnya membawa pulang pendaki kekuasaan setelah sampai masanya untuk turun dan tidak membiarkan pendaki kekuasaan meroyan tidak tentu arah di puncak sana sambil menjerit-jerit akulah ‘pahlawan’ berdarah ‘Bugis’.
7. Pahlawan sebenar tempat kamu tidak sentiasa di atas. Ada ketikanya kamu harus melepaskan tanggungjawab sebagai pendaki dan kembali berada di bawah agar orang lain juga dapat merasakan nikmat sebagai pendaki dengan mengalirkan manfaat kekuasaan kepada yang di bawah. Malim politik juga seperti pendaki kekuasaan yang tamak sudah sesat dan tidak tahu jalan pulang. Langkah segera menyelamatkan pendaki dan malim politik untuk dibawa turun harus dilakukan segera untuk mengelakkan lebih banyak gempa lebih kuat bermagnitud melepasi 6.0 pada skala richter. Jika ini berlaku, pastinya lebih ramai mangsa yang akan menjadi korban. Jangan korbankan rakyat yang jumlahnya hampir 30 juta orang hanya kerana menjaga kepentingan malim politik dan pendaki yang sudah mabuk ketinggian. “The positive tihinker sees the invisible, feels the intangible, and achieves the impossible”. Jangan sampai kita melacurkan politik hingga menambahkan anak-anak gelandangan tanpa bapa. Kata Ronald Reagan, “Saya pernah berkata politik adalah profesyen kedua tertua di dunia, dan saya baru tahu bahawa ia juga hampir sama buruknya dengan yang pertama”.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment