ANTARA WANG KELIAN DAN LAHAD DATU


بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِالرَّحِيْــــم

السلام عليكم

1.   Tiba-tiba saja seluruh negara bermimpi dan mengigau satu perkataan yang sebelum ini jarang-jarang didengar kecuali bagi mereka yang banyak menyelongkar isu-isu berkaitan dengan pelarian dan perjuangan puak pemisah di seluruh dunia. Rakyat negara ini lebih terdedah kepada isu-isu pelarian Palestin, Filipina, Kashmir, Bosnia, Chechnya dan Selatan Thailand yang dianggap memperjuangkan hak untuk menuntut kemerdekaan di bumi mereka sendiri. Malah walaupun Chechnya lebih jauh dari Myanmar, rakyat negara kita lebih terdedah kepada berita pejuangan rakyat Chechen, Palestin dan Kashmir. 


2.   Tidak hairanlah jika sahabat saya Zulkifli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Zulya yang juga seorang penulis akhbar Harakah menulis status di 'facebook' beliau berbunyi, "Setiap bangsa yg ditindas, akan wujud kelompok dari kalangan mereka yg bangun pertahankan maruah. Apatah lagi umat Islam beraqidah yg ada bersama konsep jihad sanggup mati pertahan maruah. Bangsamoro, Acheh, Petani... tak terkiralah yg lebih hebat mcm Palestin, Bosnia, Chechen dll semua boleh jadi contoh. Tapi Rohingya ni rasa macam bangsa yg paling koman dlm dunia... orang muda, org Jantan habih pakat lari tinggal negeri". 

3.  Kenyataan sahabat saya Zulya ini sesungguhnya sesuatu yang amat menarik walaupun mengundang pelbagai kontroversi akibat sesetengah pihak yang telah hanyut dibuai emosi berbanding realiti. Apa yang dinyatakan sahabat saya ini bagi saya merupakan satu pola fikir yang terpuji kerana ianya hanya hadir kepada manusia yang memiliki sifat kritis dan analitis serta 'probing mind' yang begitu penting bagi seseorang penulis. Apa yang disebut Zulya tentang jihad dan semangat mempertahankan tanahair mereka itu bagi saya adalah logik kerana belum lagi sepanjang pengetahuan saya wujudnya pejuang pemisah atau pejuang kebebasan dari etnik Rohingya. Terdapat gambar yang menunjukkan puak Rohingya berpakaian seragam ala tentera itu didakwa lebih bersifat propaganda. Hakikatnya, jika perjuangan mereka ikhlas dan meletakkan agama sebagai panji-panji perjuangan, pasti tidak akan muncul kisah-kisah agen seperti 'Yassin' dan dalang-dalang lain yang menyiksa dan membunuh bangsa sendiri serta menjadikan mereka barang dagangan untuk mengaut keuntungan. Belum pernah kita dengar kisah adanya agen dan dalang menjual bangsa sendiri di kalangan pelarian Chechnya, Kashmir, Palestin, Filipina, Selatan Thailand dan lain-lain kecuali etnik Rohingya dan Bangladesh.

4.   Berbalik kepada isu Rohingya, dominasi berita dalam negara kini lebih banyak tertumpu kepada kes penemuan sejumlah 28 kem dan 139 kubur yang ditemui di Bukit Wang Burma sempadan Malaysia dan Thailand sejak dibuat sidang media Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 25 Mei 2015 bertempat di Markas Taktikal Pasukan Gerak Am (PGA) di kawasan tersebut. Malah sensasinya berita ini adalah apabila pelarian Rohingya yang kini terselamat dan sudah hidup seperti warga asing lain yang punya dokumen perjalanan di Malaysia seperti Alor Setar, Kulim, Pulau Pinang dan lain-lain tempat ditemubual oleh wartawan dan menceritakan pengalaman ketika berada di kem tersebut. Kita amat berharap agar kata-kata Goenawan Mohamad berkait dengan jurnalisma ini dapat dipraktikkan dalam semua hal agar rakyat mendapat berita yang tepat. Kata Goenawan, "Tugas jurnalistik tak pernah berubah. Ia menyampaikan fakta. Jika bukan itu, ia propaganda". Tambahnya lagi, "Tugas wartawan tak pernah berubah. Ia pelurus informasi. Jika bukan itu, ia pembohong". Harapan kita sebagai rakyat, itulah tugas yang sepatutnya dilakukan wartawan dan mereka yang berada dalam bidang jurnalisma. 


 5.   Seperkara yang dapat kita fikir apabila munculnya kisah Wang kelian ini yang merupakan kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand adalah apabila tanggal 1 dan 2 Mac 2013 yang kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air gugur mempertahankannya. Pada tarikh itu bumi Lahad Datu dan Semporna, Sabah, bermandi darah apabila senjata api kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memuntahkan peluru menembusi tubuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka memburu pengganas yang mendakwa daripada kesultanan Sulu. Ketika itu, seluruh rakyat berdoa agar pencerobohan itu dapat ditamatkan segera dan ianya dapat dijadikan iktibar betapa sempadan negara tidak kira perairan mahupun daratan harus dipertahankan. Mekanisma pertahanan khususnya pendekatan dan kaedah risikan perlu dimantapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Bermula daripada pemimpin utama negara hinggalah kepada pemimpin bawahan peringkat kampung serta ketua-ketua pihak keselamatan negara semuanya berjanji untuk mengetatkan lagi kawalan bumi Malaysia daripada dicerobohi. 

6.   Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengingatkan agar sistem risikan dan keselamatan negara wajar dikaji semula serta Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor mengulas panjang dalam wawancara khas bersama wartawan Utusan Malaysia, Hussaini Amran yang disiarkan pada 22/03/2013. Kata beliau, "Tidakkah orang berkata, dalam apa situasi sekali pun, aspek pencegahan adalah lebih berkesan daripada mengubati? Pencegahan boleh dilihat daripada pelbagai aspek. Pertama, operasi perisikan mestilah cekap dan meluas ke akar umbi. Pakar strategi China kuno, Sun Tzu dalam bukunya Seni Peperangan menekankan, jeneral-jeneral tentera sepatutnya mengkaji maklumat risikan sebelum memasuki medan perang. Selain itu, Sun Tzu juga berkata: “Semasa berperang, usahakan perdamaian. Semasa aman, buatlah persiapan menghadapi keadaan berperang". Dalam bahasa Inggeris berbunyi “In time of war, make peace. In time of peace, prepare for war." Pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan perisikan, pasti tahu maksud Sun Tzu itu. Perisikan yang hebat mesti boleh beritahu kita apa yang sedang berlaku dan bakal berlaku. Kumpulan pengganas Kiram itu bukan hanya dianggotai orang yang baru datang dari selatan Filipina sahaja".

7.    Daripada apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Rahim Noor itu, nampaknya peristiwa tersebut masih gagal memberi kita pengajaran malah mengulangi kesilapan sama. Sudah berulang kali terus berlaku kes penculikan warga asing dan Malaysia sebagai tebusan oleh kumpulan lelaki bersenjata dengan melarikan diri ke arah selatan Filipina.
Kali terakhir adalah pada 14 MEI 2015 baru-baru ini di mana dua individu diculik di sebuah restoran di Sandakan, Sabah. Setiap kali berlaku penculikan maka arahan agar mengetatkan kawalan keselamatan perairan negara dikeluarkan. Apakah masih tidak ketat-ketat kawalannya walaupun ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah?

8.   Kita lebih gemar berhikayat untuk mementaskan drama bangsawan daripada mencari penyelesaian secara holistik walaupun negara mempunyai pelbagai agensi keselamatan bagi melindungi rakyat, pelancong atau warga asing dan tanahair daripada dijadikan mangsa penceroboh serta dalang pemerdagangan manusia.  Tidak banyak bezanya antara pencerobohan di Sabah dan Wang Kelian. Perbezaan ketara hanyalah di sabah itu perairan dan di Wang Kelian itu daratan. 

9.   Usaha dan tindakan pasukan keselamatan menghapuskan penceroboh di sabah sesungguhnya amat dipuji setelah berjaya menghapuskan gerombolan pengganas Sulu tersebut. Namun, seperti kata Tan Sri Rahim Noor berhubung risikan;

a) Tidak ada maklumat risikan tentang kemasukan puak pengganas Sulu?

b) Berapa jumlah yang masuk dan siapakah mereka? 

c) Siapakah ketua mereka dan siapa kuncu-kuncu yang membantu mereka masuk ke negara ini sebelum berlakunya insiden ini? (Foreknowledge)

d) Apa senjata yang digunakan serta kemahiran mereka?

e) Jika kita tahu kenapa masih berlaku insiden pembunuhan pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan kita yang dilihat berpunca daripada kegagalan mengenalpasti lokasi sebenar dan kekuatan mereka? 

f) Kenapa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan awal pada 16 Feb 2013 bahawa "Hasil perisikan mendapati kumpulan orang asing bersenjata api yang menceroboh Pantai Tanduo berdekatan Lahad Datu di Sabah bukan pengganas dan mereka tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan". Malah akhbar Sinar Harian 22 Mac 2013 menyebut, "Menteri (Hishamuddin) berkata dalam Twitternya, Lahad Datu ditawan oleh 180 orang tua dan wanita, berkain pelekat, senapang dah buruk, kurang zat makanan".

10.   Oleh kerana itu, dalam apa keadaan sekalipun, 'foreknowledge' amat penting bagi mengelakkan kita terperangkap dengan masalah sama. Kesilapan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah diulang dalam kes Wang Kelian oleh KSU KDN, Datuk Alwi Ibrahim apabila menyatakan bahawa hasil siasatan pihak polis mendapati tiada kem penampungan dan kubur etnik Rohingya di dalam kawasan Malaysia seperti yang di laporkan akhbar Harian Metro 11 Mei 2015.

11.   Dalam konteks ini, pasukan keselamatan termasuk Jabatan Perhutanan harus mengakui samada;

a) Gagal mengesan kehadiran sindiket pemerdagangan manusia di dalam wilayah kita?;

b) Jika diakui mengetahui awal kenapa tidak ada tindakan sebelum penemuan kubur dan kem tersebut oleh Pasukan Gerakan Am. Ini adalah kerana menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis dalam sidang media pada 26 Mei 2015 berhubung perkara ini yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3 berkata, "Mereka telah mengetahui perkara ini sejak Januari tahun ini dan telah ke lokasi berkenaan bersama-sama pihak polis, namun tidak membuat rondaan sebelum ini kerana ia berada di dalam kawasan pentadbiran Majlis Keselamatan Negara (MKN)".

12.   Kedua-dua pilihan itu memang sukar diakui kerana ia adalah refleksi kegagalan dan kelemahan pihak-pihak terlibat. Alangkah baiknya jika kita dapat bertindak awal sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah kematian mangsa pelarian Rohingya dan Bangladesh di kem tersebut dan jumlahnya pasti tidak seramai yang kita temui sekarang.

13.   Apabila berlaku dan terdedah sebegini, maka akan muncul satu persatu hero-hero bunga dan daun yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi wira dengan mendedahkan pula kewujudan kem ala komunis dan ala Vietcong dengan pelbagai cadangan termasuk yang tidak masuk akal ketika ini untuk menjadikannya destinasi pelancongan. Dalam kesedihan rakyat dan simpati kepada mangsa-mangsa tersebut, cadangan untuk menanam pokok serta dijadikan destinasi pelancongan elok disimpan sebagai bantal untuk bermimpi sendiri-sendiri buat masa ini. 

14.  Seperkara lagi jika kita mengikuti dengan dekat kes ini yang turut melibatkan Thailand, mereka sudahpun mengheret pihak terlibat dengan jumlah yang begitu ramai termasuk orang-orang besar dan pihak polis yang terlibat untuk didakwa di mahkamah selepas penemuan kubur dan kem di Padang Besar, Thailand. Usaha memburu secara besar-besaran giat dilakukan sehingga ke Ranong. Bagaimana dengan kita?  Apakah memadai dengan hanya pengumuman penahanan 12 orang pegawai polis yang kini berubah menjadi 2 orang? Itupun tangkapan yang melibatkan mereka sebelum penemuan kubur dan kem penampungan di Wang Kelian. Kini heboh berhubung pemburuan 'Yassin' warga Myanmar berbangsa Rohingya yang didakwa sebagai dalang dan ketua sindiket pemerdagangan manusia di Thailand. Apakah 'Yassin' dapat beroperasi di negara kita seorang diri tanpa tangan-tangan ghaib dalam agensi penguatkuasa dan jabatan terlibat? Adalah sesuatu yang mustahil 'Yassin' atau 'AlFatihah' dapat menjalankan kegiatan sindiket ini tanpa ada hubungan samada penduduk tempatan ataupun pihak penguatkuasaan. 

15.   Fasa menyalahkan kambing hitam sudah berakhir dan fasa tikus hitam akibat lorong tikus juga wajar dihentikan. Laluan tikus kini sudahpun diambil alih oleh laluan manusia. Sekarang adalah masa bertindak dan tindakan bukan saja perlu pantas dan tepat, malah yang lebih penting adalah 'ketelusan'. 

16.    Jika kita berkata seperti yang dilaporkan akhbar Harian Metro 1 JUN 2015 halaman 17 yang menyiarkan berita tentang kolaborasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM sebagai kejayaan di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS), serta pelbagai hujah menyokong kenyataan ini dibuat, maka tidak wajar timbul soal tuding-menuding jari dalam kes ini. Jika NBOS menjadi asas, pastinya tidak ada masalah rondaan bersama Jabatan Perhutanan, ATM dan tentera dan pastinya tidak akan timbul siapa salah, pertindihan kuasa atau kawasan, tidak ada pistol dan bermacam-macam lagi. Jangan hanya di akhbar NBOS berjaya tapi realitinya adalah bertentangan. 

17.   Mari sama-sama kita bayangkan seperti apa yang disebut oleh Art Harun dalam episod 'Art of the Matter' yang diterbitkan pada 28 Mei 2015 (https://weehingthong.wordpress.com/2015/05/30/watch-the-video-malaysian-death-camps-art-of-the-matter/) bahawa sekarang kita tidak mengetahui kewujudan kem penampungan dan kubur-kubur pelarian Rohingya dan Bangladesh walaupun jumlah mereka begitu ramai serta bersenjata, bagaimana jika yang berada di situ adalah musuh yang berniat menyerang negara kita?
Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts