PILHANRAYA NEGERI SARAWAK
Pilihanraya Negeri Sarawak telahpun selesai dan keputusannya juga telah diketahui. Tahniah buat Adnan Satem Ketua Menteri yang mendapat endorsement sebagai Ketua Menteri atas tiket sendiri.
Mengulas punca kekalahan memalukan pembangkang dan kemenangan bergaya BN di Sarawak sudah ramai yang menzahirkannya. Sesungguhnya kemenangan BN sudah dijangka kerana pola pengundian di Sarawak sebelum inipun banyak memihak kepada BN selain tahap celik politik juga memainkan peranan penting.
Namun, setidak-tidaknya baik juga dinyatakan antara punca kekalahan yang terpaksa diterima pembangkang. Pertamanya adalah kegagalan mendamaikan antara parti-parti dalam pembangkang hingga terpaksa bertanding sesama sendiri menentang BN dan akibatnya tidak sedikit yang hilang wang pertaruhan. Nampaknya, ketiadaan Anwar Ibrahim memperlihatkan ketidaktentuan hala tuju pembangkang kerana Wan Azizah dilihat gagal memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang.
Apapun yang ditelah jangan sampai kita lupa mengenai cadangan persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak untuk menambahkan jumlah bahagian pilihan raya negeri atau kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dari 71 ke 82 memberi impak besar kepada keputusan tersebut. Pertambahan 11 kerusi negeri ini adalah angka paling besar berbanding persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak 1985, 1995 dan 2005.
Keseluruhannya, tambahan 11 kerusi baru DUN Sarawak melibatkan 3 kawasan Melayu/Melanau, 2 kawasan Bidayuh, 1 kawasan Cina, 1 kawasan Iban dan 4 kawasan campuran Bumiputera bukan Islam. Tambahan kerusi tersebut, cuma satu sahaja, iaitu Batu Kitang, yang menjurus kepada keperluan persempadanan lantaran kepesatan pertumbuhan fizikal dan kependudukan. Baki 10 adalah menepati analisis beberapa pihak, persempadanan ini lebih fokus kepada pertambahan kerusi DUN demi survival parti-parti komponen BN, yang dikepalai oleh PBB.
Umum mengetahui bahawa setiap kali persempadanan semula dibuat dalam pilihanraya pastinya ia akan memberi kelebihan kepada pemerintah walaupun SPR sering mendakwa mereka bebas dan melakukannya demi kepentingan pengundi. Sedangkan hakikat sebenar lekuk persempadan semula dibuat di setiap kawasan sudah mengambil kira hasil culaan samada oleh agensi mahupun parti politik yang mewakili pemerintah yang melihat semua aspek tersebut.
Pilihanraya yang diadakan setiap kali di negara ini samada di peringkat negeri mahupun pilihanraya umum harus dilihat sebagai pertentangan bukan saja dengan musuh politik parti-parti bertanding tetapi juga berdepan seluruh jentera pemerintah termasuk media-media yang dikawal. Namun, pembangkang tidak pernah belajar dari kesilapan untuk menerima kenyataan mereka berdepan dengan sebuah sistem yang bertungkus-lumus dan berhempas pulas mempertahankan status-quo. Melawan sistem yang diokestrakan sebegitu rupa tidak semudah melawan debat atau berpidato yang dipenuhi penyokong sendiri.
Jauhi sifat syok sendiri kerana itulah punca utama kegagalan sesiapapun tidak kira bidang apa yang kamu ceburi.
Wassalam
Comments
Post a Comment