ALAHAI MEDIA PERDANA!


1.     Lewat petang tadi saya ada membuat satu post santai dengan sekeping foto berbentuk soalan tetapi agak melucukan. Namun, sengaja saya selitkan persoalan yang sering bermain di media TV arus perdana tanpa punya perasaan malu yang terus berpropaganda murahan ala kebudak-budakan.

2.     Persoalan sebenar bermain di fikiran kita adalah sampai bila pendekatan begini harus dipertahankan oleh media yang kononnya menyelami denyut nadi rakyat? Sudahlah segala tindak-tanduk jelas memperbodohkan penonton, ditambah dengan serangan siang malam terhadap musuh politik pemerintah tidak kira samada di pihak pembangkang ataupun dalam UMNO sendiri. Hilang rasa hormat kepada orang lebih tua dan banyak berjasa pada negara hanya untuk memenuhi tuntutan nafsu serakah political master.

3.      Secara umumnya masyarakat cukup mual dengan rentak sebegitu. Jika dikata bodoh marah pulak dan jika dikata gila mengamuk tentunya. Tetapi itulah realitinya dengan saluran TV ini. Bayangkan setiap kali ada insiden malang atau musibah, maka berpusu-pusu soalan diterjah kepada keluarga mangsa dengan soalan yang cukup menyakitkan hati menontonnya. "Apakah perasaan makcik dengan kejadian yang berlaku pada anak makcik? (anaknya meninggal dunia kemalangan). Makcik itu akan menjawab amat gembira? Dalam suasana hiba begitu, rasanya tak perlulah mereka diasak dengan pelbagai soalan yang bukan saja tidak relevan dan memanfaatkan keluarga mangsa, malah ia mencetak kebodohan keterlaluan untuk dipertontonkan kepada masyarakat.

4.      Detik paling melucukan tetapi lebih kepada menyampah adalah apabila ada pengumuman kenaikan gaji atau pemberian bonus diumumkan.Ketika itu akan datang wartawan bertanya penjawat awam "apa pandangan encik dengan langkah kerajaan memberi bonus / menaikkan gaji/elaun? Apakah penjawat awam akan menjawab "saya amat marah dengan tindakan kerajaan menaikkan gaji/elaun dan beri bonus?".Adakah mereka akan menjawab jika boleh kerajaan patut potong gaji dan elaun bukan beri kenaikan. Lagi bagus biar tinggal seringgit sebulan?

5.    Lebih menyesakkan dada adalah soalan streotype ini begitu selektif dan hanya akan menyiarkan komen-komen yang memuja dan memuji pemerintah. Ini lah akibatnya apabila media dikuasai kapitalis yang menjadi pemegang saham terbesar dan mereka jugalah balaci dan hamba parti pemerintah. Demi mempertahankan kuasa penyumbat dedak, maruah dan prinsip bukan jadi pegangan. Yang penting adalah kemahuan mereka yang berkuasa dipatuhi.

6.    Media merupakan bukti dasar yang diamalkan oleh pemerintah sesebuah negara samada bersifat tirani, memperbodoh dan mengelirukan rakyat atau berintegriti. Pilihan di tangan masyarakat samada untuk dikeliru dan diperbodohkan atau menjadi rakyat yang celik politik dan tidak mudah menjadi bahan mainan dan sendaan golongan kemaruk kuasa dan sedang lemas dalam hanyir kebusukan dicipta oleh tangan-tangan mereka sendiri.

"BERANI BERUBAH"

Comments

Popular Posts