24 JAM ICQ BUKIT KAYU HITAM


Berita Astro Awani 10 April 2017 melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju dengan hasrat kerajaan pusat supaya pintu sempadan dengan Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dibuka 24 jam berbanding 18 jam ketika ini. Pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam pada masa ini beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam. Tambah beliau, langkah melanjutkan operasi pintu sempadan itu telah mendapat persetujuan perdana menteri pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-128 di Putrajaya, pada Februari lepas. Selain itu juga disebut "Langkah itu bagi menggalakkan kemasukan pelancong asing dan kurangkan masalah trafik di ICQ terutamanya pada waktu puncak." 

Pelbagai reaksi masyakarat dapat dilihat hasil daripada kenyataan MB Kedah ini. Seperti sering disebut, kita boleh tidak bersetuju dengan kenyataan MB Kedah ini tetapi pada masa sama harus bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pandangan orang ramai terhadap saranan ini.

Ikhlas saya nyatakan bahawa pengalaman saya ketika bertugas di daerah Kubang Pasu di mana pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam/Danok itu di bawah pentadbiran daerah ini banyak membantu saya faham masalah sebenar di sini. Saya tidak pasti apa alasan MB Kedah untuk melanjutkan 24 jam tapi saya bersetuju dengan keputusan beliau ini. Mungkin ada kenyataan atau keputusan beliau yang dilihat tidak menguntungkan rakyat tapi dalam soal ini saya menyokong keputusan tersebut. 

Rasanya 'mindset' masyarakat kita apabila melibatkan Thailand maka tergambar soal kemaksiatan dan unsur-unsur negatif sedangkan banyak lagi elemen positif di sana malah maksiat yang dikaitkan itu lebih banyak di Malaysia. Jika tidak mana mungkin negara ini disenaraikan antara 10 negara paling ramai pelacur di dunia. Mengikut laporan diterbitkan di liveandinvestoverseas.com mendedahkan Malaysia berada di tangga ke-lapan yang mempunyai bilangan pekerja seks paling ramai di dunia pada tahun 2013. Malaysia di tangga ke lapan mendahului Jerman tangga ke sembilan dan Thailand ke sepuluh. Maknanya jika nak bermaksiat dan mendapatkan khidmat seks, di sini lebih terbuka peluang tersebut.

Ketika ini pintu masuk keluar di sempadan Bukit Kayu Hitam itu dibuka jam 6 pagi dan ditutup 12 tengah malam (18 jam). Dalam erti kata mudah 75% masa dalam sehari itu akan dilengkapkan 100% apabila dibuka 24 jam. Apakah jika kerajaan pusat atau negeri meluluskan pintu sempadan itu dibuka 24 jam maka secara otomatik gaji kakitangan mereka juga akan dinaikkan sebanyak 25% sepertimana tambahan masa tersebut? Sudah pasti tidak dan dengan jumlah sama pendapatan seseorang, samada 24 jam atau 18 jam tidak banyak memberi kesan kerana maksiat tersebut tidak seperti dadah jika tak ada maka menggigil-gigil wajib diadakan. Begitu juga dengan syraikat swasta atau syarikat perniagaan lainnya tidak akan menambah pendapatan pekerjanya sebanyak 25% untuk membantu pekerja mereka masuk ke Thailand. 

Malah saya rasa ia akan mengurang belanja penginapan kerana mereka dapat pulang tanpa perlu bermalam di sana. Saya rasa ura-ura kerajaan Thailand kurang bersetuju itu berbangkit di kalangan pengusaha hotel dan 'lodging house' di sempadan Thailand kerana bimbang industri perhotelan terjejas. Ianya sama dengan isu jambatan bengkok disarankan oleh Tun Mahathir dulu konon ditentang oleh Singapura. Kenapa? Kerana mereka mendapat pulangan lumayan hasil pelabuhan di negara mereka dan jika jambatan bengkok berjaya direalisasikan, kapal-kapal dagang akan beralih ke pelabuhan di Malaysia. 

Rakyat dan negara ini akan mendapat banyak manfaat jika pintu sempadan dapat dibuka 24 jam kerana selain kemasukan pelancong, paling penting adalah rakyat negara ini dapat menikmati hasil laut dan sayur-sayuran segar yang sebelum ini tersadai dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi keesokan harinya menunggu ianya dibuka. Inilah punca sayur-sayuran dan hasil laut dimasukkan bahan kimia untuk membantu ia dapat bertahan lebih lama tetapi memberi kesan buruk pada kesihatan pengguna.

Cakap-cakap kerajaan Thailand tidak berminat rasanya lebih bersifat andaian kerana keputusan sebenar bukan di peringkat bawah tetapi melalui rundingan samada dalam RBC (Regional Border Commitee) atau GBC (General Border Commitee) yang di adakan setiap tahun dengan tuan rumah antara Malaysia dan Thailand berselang seli. 

Saya juga berpendapat, dengan pembukaan pintu sempadan 24 jam juga dapat mengurangkan kesesakan kerana samada rakyat negara ini atau Thailand tidak akan berebut-rebut untuk masuk jam 6 pagi dan keluar pada jam 12 tengah malam. Ini juga bagus dari sudut keselamatan kerana semakin kurang kesesakan semakin banyak masa untuk pihak keselamatan khususnya kastam membuat pemeriksaan di ICQ ditambah tidak bergegas untuk pulang sebaik jam menghampiri 12 tengah malam kerana ada pengganti selepas itu.

Kawasan sekitar pintu masuk dan berdekatan juga secara tidak langsung akan membangun seiring dengan kemeriahan transaksi perniagaan di antara kedua negara. 

Yang baik kita sokong dan yang merugikan rakyat tidak kira pihak mana atau siapapun akan dibantah. Ada masanya Mat Bashah dilihat kurang menyerlah tetapi soal ini mungkin penasihat-penasihat dari dalam kerajaan memberi nasihat yang betul dan berguna untuk rakyat dan negeri. 

Demi Bangsa, Agama dan Negara.

Comments

Popular Posts