BERBEZA PANDANGAN
Berbeza pandangan itu adalah fitrah hidup manusia tetapi sungguh malang apabila manusia berpusu-pusu mencabar perbezaan pandangan.
Sebetulnya 'berbeza pandangan' itu tidak salah kerana yang salah adalah 'pandangan yang salah'. Memandang manusia namun dihebahkan memandang beruk itu salah atau memandang gunung dikatakan laut. Jika berbeza pandangan, itulah sebenarnya proses mencari kebenaran. Berbeza pandangan akan melengkapi kekurangan dan ia bermakna tahap-tahap menuju kesempurnaan.
Hanya dengan berbeza pandangan saja kita akan dapat menemui ketepatan sesuatu peristiwa atau kejadian. Seseorang mungkin melihat gajah dari sisi kiri dan memberitahu apa yang dilihatnya, yang lain dari sisi kanan, atas dan belakang juga menambah fakta apa yang dilihatnya. Jika semua yang memandang gajah dari pelbagai sudut memberikan pandangan masing-masing maka lengkaplah apa yang ditakrifkan sebagai gajah.
Bagi yang menentang perbezaan pandangan maka jadilah mereka seperti kisah enam orang buta bertemu dengan gajah dan masing-masing bertegas dengan apa yang difikir oleh mereka menurut sentuhan. Orang pertama yang memegang badan gajah mengatakan bahawa gajah itu seperti dinding yang tebal. “Bukan begitu” kata orang kedua yang memegang gading gajah, dan mengatakan bahawa “gajah itu bentuknya agak panjang meruncing dan tajam.
Orang ketiga yang memegang telinga gajah itu pula berkata “Tidak!, gajah itu seperti daun raksasa, kalau kita pegang akan bergerak-gerak.” “Saya tidak setuju” sahut orang keempat yang memegang belalai gajah dan berkata “gajah itu seperti ular raksasa.” Orang kelima berteriak tidak setuju dan berkata “Gajah itu seperti pohon yang besar.” Orang keenam yang menunggang gajah pula berkata “Tidak ada satu pun dari kamu yang tepat! Gajah itu seperti gunung besar dan dapat bergerak dan berjalan!”
Akhirnya semua terus berbantah tentang gajah tanpa seorang pun yang dapat memahami apa gajah itu sebenarnya.
Akhirnya semua terus berbantah tentang gajah tanpa seorang pun yang dapat memahami apa gajah itu sebenarnya.
Kisah orang buta dengan gajah cukup tersohor dan ramai tahu mengenai kisah ini. Yang celakanya kerana tidak ramai menjadikannya sebagai pengajaran malah terus berbantah hanya kerana berbeza pandangan sedangkan berbeza pandangan itulah rahmat dari Allah swt.
Mereka yang tidak dapat menerima perbezaan pandangan selayaknya tidak wajar diangkat sebagai pemimpin dan patut berada dalam kelompok yang sama mudah-mudahan tidak mengkucar-kacirkan kehidupan orang lain.
Comments
Post a Comment