WARSO

Berfikir merupakan salah satu aktiviti manusia yang tidak mungkin dapat dipisahkan selagi bernama manusia kecuali yang sudah tidak waras. Itupun tidak begitu jelas samada mereka tidak berfikir kerana kita belum ditakdirkan menjadi salah seorang insan terpilih dikategorikan sebagai orang gila.  Selagi belum gila kita tidak wajar mengatakan mereka tidak berfikir.

Tadi saya berfikir tentang situasi politik tanahair yang semakin merapu dan mendekati sarkasisme yang memalukan. Kita tidak lagi menggunakan kaedah penyelesaian masalah secara rasional dengan melihat impak jangka pendek dan panjang. Sebaliknya kita hanya meletakkan keutamaan kepada melindungi seorang manusia yang mampu menggosok lampu ajaib Aladdin dan datanglah jin membawa apa saja yang dikehendaki.  Mintalah jawatan, pangkat, wang ringgit, harta menimbun. Malah ada jin yang mampu memasukkan berbilion ringgit dalam akaun peribadi jika kena pada gayanya. 

Situasi ekonomi amat parah tapi masih lagi dicanang bahawa ekonomi negara berada pada landasan kukuh. Ringgit merudum dikatakan bagus untuk menarik pelancong luar datang ke negara ini. Ekonomi buat manusia yang waras pastinya akan melihat keadaan ekonomi global bukan hanya berkokok berderai-derai tetapi taik berlumuran di punggung. Tidak guna memekik indeks BSKL kukuh jika berlaku gempabumi di New York pastinya di sini juga akan terjejas. Rakyat setengah mati dihimpit kenaikan harga barang malangnya pak menteri berkata rakyat mula menerima perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan  (GST). Kegilaan apa sebenarnya yang mahu dibuktikan?

Semua yang dilakukan pemerintah ketika ini tak ubah seperti kisah yg pernah disebut oleh Sanusi Junid mantan Menteri Pertanian, Setiausaha Agung UMNO dan juga MB Kedah mengenai Warso. Warso sudah hilang akal memikirkan bagaimana mencari solusi bagaimana untuk memujuk lembu-lembunya makan rumput yang sudah kering menguning. Lembu-lembunya sudah membuat mogok lapar enggan makan rumput.  Bimbang lembu-lembunya mati, Warso mencari idea bagaimana membuat sesuatu yang boleh membuat mereka makan rumput kering. Akhirnya Warso mendapat idea dengan membeli cermin mata hijau dipakaikan pada semua lembu-lembunya. Lembu-lembunya dengan lahap membaham rumput kering hingga habis dan ia membuat Warso begitu senang hati. Namun natijahnya adalah semua lembunya sakit perut cirit-birit. Begitulah juga dengan rakyat negara ini yang dipakaikan cermin mata untuk melihat semuanya betul dan indah sesuai dengan kehendak mereka walaupun hakikatnya rakyat sedang diperbodohkan. 

Wallahualam 

SANI 

Comments

Popular Posts