Salam Lebaran
Salam,
2. Masa lalu, sekarang dan masa depan semuanya milik Maha Pencipta. Di dalam lohong masa itulah berlakunya berbagai sejarah hidup manusia dan isi alam. Yang gembira manusia ketawa dan sedih tidak kurang yang menangis. Semuanya membawa maknanya yang tersendiri mengikut pola fikir manusia yang melaluinya.
3. Kita sedih dengan hanya mampu memiliki kasut murah sedangkan bukan sedikit yang berkaki ayam malah yang tidak berkaki sekalipun samada disebabkan kekejaman manusia dan takdir. Kita sedih hanya mampu makan nasi berlauk ikan bilis goreng walhal pada masa yang sama masih ada yang sudah 2 hari tidak makan atau nasi berkuahkan air paip. Kunci kepada penyelesaian tidak lain dan tidak bukan adalah rasa syukur pada setiap apa yang kita miliki dan rahmat Allah yang tidak pernah temui noktah. Jika Allah swt seperti manusia yang pendendam dan pemarah, pastinya tidak akan diterbitkan matahari pada siangnya dan bulan serta bintang pada malamnya akibat daripada sifat manusia yang tidak pernah kenal erti syukur.
4. Kita sedih pasangan kita tidak kacak atau cantik tetapi berapa ramai di luar sana tetap hidup penuh cinta dan kasih sayang walaupun pasangan masing-masing cacat dan penuh dengan kesengsaraan. Kita merasakan kita miskin tetapi masih ramai yang bergelandangan mengharapkan ihsan manusia yang berhati manusia. Apakah kita tidak bernasib baik berbanding mereka? Yang menjadikan kita merasa tidak bernasib baik apabila kita membandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih senang hidupnya berbanding kita. Hakikatnya, kita tidak mengetahui mungkin hidupnya lebih tidak bahagia kerana kebahagiaan dan kekayaan yang sebenar adalah memiliki hati yang tenteram.
5. Kita sedih ditinggalkan orang yang kita amat cintai dan memikirkan dia sedang bahagia bersama insan lain tetapi apakah kita tahu bahawa Allah swt asingkan dia dari kita atas rasa kasihan apabila diri kita sentiasa menjadi mangsa diperbudak dan diperhambakan olehnya tanpa sedikitpun kita merasakan diri kita diperlakukan sedemikian. Atas rasa sayang dan kasihan kepada kita lah Allah jauhkan dia dari kita darinya untuk sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan yang tidak kita ketahui. Allah sentiasa memilih yang terbaik untuk setiap hambanya termasuk ujian yang pasti mampu dilalui oleh hambanya itu. Dia yang meninggalkan kita juga sebenarnya sedang memijak bara api kepedihan hidup disiksa cinta yang dikejar akibat yang dikendong berciciran dan yang dikejar entah ke mana.
6. Dalam setiap detik bosan, sedih, marah dan apa saja perasaan yang ada pada manusia, di situ jugalah tertanam hikmah yang maha besar jika kita memahami bahawa apa yang berlaku itu adalah yang terbaik untuk kita. Idulfitri bukan hanya simbol kegembiraan. Ia lebih merupakan hari mencapai kemenangan buat umat Islam yang telah melalui sebulan ujian pada bulan Ramadan yang baru saja meninggalkan kita. Impak Ramadan tidak harus terhenti sehingga Ramadan akan datang menemui kita lagi pada tahun hadapan.
7. Kasih sayang dan budi kepada anak-anak yatim tidak hanya berlingkar dalam bulan Ramadan jika impak Ramadan itu sudah mentarbiahkan setiap manusia yang mencapai kejayaan pada 1 Syawal. Kejayaan 1 Syawal hasil ujian yang kita lalui sepanjang Ramadan tidak perlu dimanifestasikan terpekik terlolong dengan dendangan lagu-lagu raya dan terkinja-kinja menari-nari di kaca TV serta Radio yang tidak sedikitpun menjadi ceminan impak Ramadan. Sifat sabar yang selalu kita ungkapkan, "sabar!! ini bulan Ramadan!". Apakah impak kesabaran dalam bulan Ramadan hanya milik Ramadan? Keceluparan tidak wajar kembali jika Ramadan sudah mendidik manusia menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.
8. Jika Idulfitri dan Ramadan sudah meninggalkan kita, maka jangan lupa umur kita juga semakin bertambah. Bertambah umur biar seiring dengan peningkatan kematangan. Kematangan tidak datang dengan jemputan kad wangi, SMS, Whats App, We Chat dan lain-lain kaedah komunikasi yang semakin canggih. Ia datang dengan kemahuan dan iltizam untuk menjadi manusia yang matang dan untuk menuju kearah itu, ciri-ciri kematangan itu harus dibuktikan dari cara berfikir, bertutur, menulis, respon dan tingkah laku kita.
9. Semoga apa yang saya tulis itu menjadi ingatan buat diri saya untuk mendapatkan hari ini yang lebih baik dari kelmarin, dan esok lebih baik dari hari ini.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment