JIKA BEGINI MAKA BEGITU

Agaknya kenapa UMNO sudah tidak lagi mengambil kira perasaan rakan komponennya yang lain dalam soal bermukah dengan PAS? Bukan itu saja, dalam soal RUU355 juga UMNO sudah tidak lagi mengendahkan tentangan parti-parti komponen mereka seperti MCA, PGRM dan sekutunya di Sabah dan Sarawak?

Jawapannya tidak begitu sukar untuk ditelah kerana umum mengetahui bahawa UMNO/BN sudah ditolak oleh pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina sejak PRU12 lagi dan PRU13 menjadi 'endorsement' oleh pengundi Cina. 

Lantaran itu, congak-congak yang dilakukan UMNO mendapati apalah sangat mahu dijaga hati MCA, PGRM dan pengundi Cina kerana dijaga bagaimana pun pasti akan ditolak dalam PRU14 nanti jadi demi 'survival' UMNO mengambil pendekatan 'Zero sum game'. Jika menang-menang berlebih dan yang kalah akan kalah teruk. Begitulah pemikiran 'opportunis' dan 'selfish'. 



Yang penting bagi mereka bukan keikhlasan bersama dengan PAS kerana jika tidak pastinya sudah diumumkan secara terbuka tetapi sebaliknya bermukah dengan tanggapan biar saja meneka jangan sampai tertangkap dengan bukti tisu dan kain batik bertukar pelikat.

Lebih ironi, DS Zahid Hamidi yang juga Pemangku Timbalan Presiden UMNO hari ini ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Peringkat Negeri Terengganu berucap tanpa segan silu, "Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu, biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita. Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain,".

Cinta yang berputik kini tidak lagi dapat diselindung dan hanya menanti masa untuk kenduri besar di Dewan Besar PWTC di pihak pengantin lelaki dan selepas itu pihak pengantin perempuan pula di Markas PAS Gombak diiringi paluan kompang dan silat pulut berserta iringan serunai dan nobat.

Sifir apa yang diguna agak mengelirukan samada pemerhati politik amatur dan pengundi atas pagar. Semakin lama bertongkat dagu atas pagar semakin jelas pagar akan roboh dek beratnya begitu ramai pengundi termangu.

Berapa ramai sebenarnya jumlah ahli PAS seluruh negara dan berapa ramai yang setuju menyokong perkahwinan mutaah ini dengan UMNO? Itu belum diambil kira yang sudah bertalak tiga dengan PAS menyertai Parti Amanah dan PPBM. Bagaimana pula dengan jumlah ahli MCA, PGRM dan penyokong mereka yang akan melakukan undi protes? 

Jadi hasilnya adalah UMNO (pecah) + PAS (pecah) tinggal berapa? Ahli UMNO pun bukan semua yang setuju kerjasama UMNO/PAS ini. Penyokong yang mengundi PAS (bukan ahli) kerana menentang UMNO kini akan menyeberang kepada Pakatan Harapan (PH) asalkan mencabar UMNO begitu juga ahli UMNO yang marah tindakan bersekutu dengan PAS akan menambah keahlian samada Amanah, PPBM, PKR ataupun tidak mustahil DAP. 

Bagaimana pula dengan yang tidak berparti dulunya mengundi BN tetapi akibat tekanan hidup berpunca dari kegagalan pemerintah mengurus ekonomi dengan jujur serta skandal yang terpalit seluruh dunia dengan bangganya 1MDB pastinya memberi kesan negatif kepada BN khususnya UMNO.

Keputusan pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, hari ini memperlihatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tewas teruk hanya mendapat 37 undi. Pencabarnya yang juga penyandang Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin memperoleh 209 undi.

Ini isyarat jelas akar umbi PAS menolak pemimpin yang melakukan hubungan sulit dengan UMNO bukan menolak PAS. Maknanya, Zahid Hamidi tidak boleh terlalu yakin dengan godaan tarian mak yong dan ulit mayang sehingga sanggup menghina kawan lama hanya semata-mata mendapat kawan baru yang dianggap talian hayat demi mengelak menerima nasib seperti Kim Jong-nam.

Harus diingat bahawa jumlah ahli parti bukan penentu kemenangan dalam pilihanraya kerana jumlah pengundi keseluruhan jauh lebih besar daripada jumlah ahli parti. Sementelah ada ahli parti yang namanya bertindih dengan senarai dalam parti lain samada pernah sertai atau ibubapa daftar tanpa pengetahuannya. Ketua bahagian UMNO daftar secara sulit pun ramai (ahli entah di mana) janji nak wujudkan banyak cawangan dan ketua cawangan akan dilantik orang-orangnya bagi memastikan beliau terus kekal sebagai ketua bahagian.

Jumlah pengundi seluruh negara adalah 17.7 juta layak mengundi dan sudah berdaftar adalah 13.5 juta pengundi. Ahli parti yang ada berapa juta? Sifir politik perlu mahir baru mudah mengira dengan tepat. Jika sifir matematik ada formulanya, politik pun ada formulanya juga ... Zero Sum Game itu formula Machiavelli agaknya.

Comments

Popular Posts