PEMIMPIN BODOH LAHIR DARI PENGUNDI BODOH


Siang tadi saya terlihat buku lama berjudul 'Mahathir dan Krisis' hasil karya Shafie Nor terbitan Nusantara Publishing Sdn Bhd (1990) di bawah timbunan buku-buku koleksi saya. Ketika membelek-belek beberapa halaman, ada seperkara yang menarik perhatian saya. Kata penulis buku ini, "... bila diumumkan bahawa UMNO sedia menerima Tengku Razaleigh serta kumpulannya ketika pilihanraya kecil Parit Raja, Tengku Razaleigh terus terang mengistiharkan bahawa jika beliau dilahirkan semula beliau tidak akan kembali kepada UMNO. Seperti diketahui, BN menang di Parit Raja. Tetapi, sepanjang kempen Parit Raja itu sudah jelas perpecahan dalam kumpulan serpihan itu. Kumpulan Datuk Musa Hitam dan Shahrir Samad sekadar hendak mengubah UMNO dari dalam atau memulihkan UMNO asal dengan memperjuangkan perlembagaan lama tetapi Tengku Razaleigh bertindak lebih jauh bermuafakat dengan PAS dan parti-parti lain untuk membentuk satu barisan lain bertujuan mengambil alih kerajaan BN". 

2.    Saya tidak tahu apa pandangan orang lain terhadap apa yang ditulis oleh penulis. Buat saya, jika ada mana-mana pihak yang meyakini kata-kata Tengku Razaleigh samada memihak kepada Najib atau rakyat seharusnya mengenepikan kedua-duanya kerana apa yang diperjuangkan beliau hanyalah mendokong apa yang boleh membawa beliau kepada kerusi perdana menteri. Katanya jika dilahirkan semula pun beliau tidak akan kembali pada UMNO tetapi wadah politik yang diperkakaskan sekarang adalah UMNO yang diludahnya siang dan malam dahulunya tidak kira UMNO Baru atau lama kerana ketika beliau bertanding di parlimen Gua Musang sejak dulu hingga sekarang tetap beliau mengatakan beliau calon UMNO dan sokongan beliau kepada Najib sebagai presiden juga katanya disebabkan Najib adalah presidennya dan beliau harus akur pada presiden UMNO. Individu begini mahu ditaja sebagai perdana menteri? Mungkin perdana menteri negara pasir berdengung sesuai buat beliau. 

3.   Keduanya jangan kita keliru atau hairan jika Musa HItam dan Shahrir Samad terus-terusan menyerang Tun Mahathir kerana dendam kesumat mereka sudah berakar sejak Musa meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan merajuk dan berharap pemimpin-pemimpin UMNO memujuk beliau kembali ke pangkuan UMNO. Malangnya usaha tersebut gagal apabila 'RAJUK' buat-buat itu tidak berhasil. Shahrir Samad yang menjadi 'hard core' kepada Musa Hitam serta hulubalangnya digunakan setiap kali ada peluang membelasah Tun Mahathir. 

4.    Sejarah tidak pernah berbohong dan untuk menganalisa rentak serta tingkah politik seperti yang sering disebut oleh Prof Rahman Shaari anak jati Perlis itu, jangan lupa melakukan 'back reading' agar mudah hadam lenggok politik tidak kira politik jahat, kotor atau sebaliknya. Pepatah menyebut "tidak ada yang kekal kecuali perubahan", "politik adalah seni serba mungkin" atau "tidak ada musuh dan kawan kekal dalam politik" sentiasa menjadi 'ever green' kerana politisi-politisi ini yang menyegarkannya. 

5. 'Hingar-bingar masih berangan, dengar boleh percaya jangan'. Lantaran itulah Mantan Perdana Menteri Soviet Union, Nikita Khrushchev pernah menyebut " Politicians are the same all over. They promise to build a bridge even where there is no river". Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai rakyat meletakkan diri kita pada posisi yang tidak menjadikan kita gurkha atau macai kepada sesiapapun yang tidak wajar diangkat sebagai pemimpin. Jangan sesekali mengulangi kesilapan lalu kerana "Pemimpin yang bodoh, lahir dari tangan pengundi yang bodoh". Jangan lupa untuk mengajar pengkhianat-pengkhianat dan opportunis-opportunis yang mahu menunggangi rakyat demi kepentingan diri serta kelompok mereka sendiri dalam pilihanraya umum akan datang. ‘Selamat Berjuang’ menyingkirkan anai-anai yang meruntuhkan negara tercinta kerana hanya kita sajalah yang dapat mengajar beruk memanjat kelapa dan jangan biarkan kita memanjat kelapa dan rantainya dipegang beruk.

Comments

Popular Posts