Bukan Salah Ibu Mengandung


1.   Siang tadi berulang kali saya menonton video berdurasi pendek mengenai kisah seorang wanita yang menyelamatkan seekor singa beberapa tahun lalu yang cedera parah ketika itu dan merawat serta menjaga singa tersebut sehingga sembuh. Namun, setelah sembuh, singa tersebut ditempatkan di sebuah tempat pemeliharaan lain. Setelah sekian lama berada di situ, wanita yang menjaganya singa itu muncul melawat singa itu di dalam kandang tempat pemeliharaan haiwan. 

2.    Amat menyedihkan apabila melihat singa itu memeluk erat dan mencium-cium wanita itu yang masih diingatinya. Betapa indahnya kasih sayang suci dan ikhlas antara haiwan dan manusia yang telah menyelamatkannya dahulu walaupun ia seekor singa yang diketahui sebagai ganas. Kasih sayang yang dicampakkan dilubuk hati antara haiwan dan manusia mengubah kisah ganas menjadi telenovela yang cukup sedih bercampur terharu.

3.  Itu kisah singa dan manusia yang menyelamatkannya. Bagaimana pula kisah mantan perdana menteri (PM) yang telah menyelamatkan karier dan langkah politik seorang manusia yang kini bergelar perdana menteri? Kisah Tun Mahathir nampaknya lebih malang dari wanita yang menyelamatkan singa yang tercedera. Tun Mahathir telah mengambil dan mengasuh seekor haiwan comel yang kemudiannya diangkat menjadi tuan besar. Sepanjang tempoh memelihara haiwan itu, beliau mencurahkan sepenuh kasih sayang sehingga haiwan itu juga membawa masuk begitu banyak kawan-kawannya ke dalam rumah Tun Mahathir manusia yang memeliharanya. 

4.   Setelah membesar dan menjadi kuat, haiwan itu bersama-sama kawan-kawanya mengambil alih kediaman Tun Mahathir dan lebih malang bukan saja menghalau mantan perdana menteri dari situ, haiwan itu bersama-sama kawan-kawannya juga menggigit dan membaham Tun Mahathir sepuas-puasnya. Usaha Tun Mahathir menghalau yang sedang mengganas itu sehingga kini masih gagal kerana ia bersama-sama kawan-kawannya sudah menguasai sepenuhnya kediaman Tun Mahathir yang dikawal lengkap bersenjata oleh semua orang-orang yang dulunya mengawal dan menghormati mantan perdana menteri itu. Tetapi itu dulu, kini semua mereka sudah tunduk sepenuhnya kepada haiwan ganas yang sedang rakus menghancurkan seluruh sistem dan lingkungan yang dibina oleh tangan Tun Mahathir sendiri. 

5.  Khalayak yang kasihan dan menghormati Tun Mahathir termasuk mereka yang dulunya menjadi musuh mantan perdana menteri ini kini terpaksa bekerjasama bertungkus lumus membantu mantan perdana menteri itu untuk menyahkan haiwan dan kuncu-kuncunya yang sudah bertukar menjadi raksaksa merbahaya. Jika tidak digembeling usaha menghalau gerombolan haiwan ini, bukan saja Tun Mahathir, seluruh negara akan menerima padah atas kehancuran yang sedang aktif dilakukan tanpa henti dan gelojoh.

6.   Tun yang memulakan, maka Tun juga harus menghentikannya. Tetapi apakah kita semua perlu berpeluk tubuh melihat kehancuran yang sedang berlaku dan menyalahkan Tun Mahathir? Tepuk dada tanya selera.

Wallahualam

Comments

Popular Posts